1st New Entry =)

Posted by adi mujahid | Labels: | Posted On Thursday, September 3, 2009 at 1:56 AM

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya menyiapkan blog baru ini. Selepas 2 hari bertungkus-lumus mencari template yang berkenan dihati dan memasukkan segala 'widget2' dan 'gadget2' yang bersesuaian akhirnya post pertama berjaya dimunculkan hari ini.

Sebelum ini saya menggunakan medium multiply.com. Agak lama saya tidak menulis dan rasanya untuk membangkitkan 'mahu' itu saya perlukan suntikan semangat yang baru.
Mungkin dengan menukar medium menulis kepada blogspot berbanding multiply sebelum ini mampu mencetuskan rasa mahu itu. Wallahua'lam.

Ala Kulli hal, penulisan selepas ini akan berpegang kepada dua prinsip utama:

1. Ikhlas
Menulis untuk tatapan umum ada mehnahnya tersendiri. Diri cenderung merasa ujub dan takabbur kepada apa yang ditulis. Meskipun belum ada yang memuji sudah wujud di dalam hati rasa hebat dan besar diri. Cabaran ini InsyaAllah akan diatasi dengan sentiasa mengingati firman Allah dalam surah Al-baqarah, ayat ke 32.


Hakikatnya, setiap yang dinamakan makhluk tiada apa-apa melainkan apa yang dikurniakan Allah kepadanya. Tidak berhak langsung seorang hamba kepada Allah untuk merasa riak pada apa yang menjadi kelebihan padanya.

Penulisan di blog ini diniatkan untuk perkongsian kepada semua supaya mendapat manfaat bersama. Mudah-mudahan bertepatan dengan hadis nabi yang menyatakan antara 3 perkara yang ditinggalkan selepas anak adam itu dikebumikan iaitu ilmu yang bermanfaat.

Oleh itu, komen dan pandangan sangatlah dialu-alukan dari semua.


2. Istiqomah
Cabaran terbesar kepada semua 'blogger' ialah pada kekonsistennya untuk 'post new entry'. Semua 'blogger' pasti merasai pengalaman yang sama. Saya pun tak lepas dari masalah yang sama. Alasan sibuk dan tak sempat itu hanya sekadar bahasa 'escapism'. Tetapi, hairan juga saya melihat pada orang sesibuk Us Hasrizal. Dia masih mampu menulis hampir setiap hari walaupun mempunya jadual yang padat. Entah bilalah masa dia menulis.

Sebenarnya masalah ini terpulang pada diri masing-masing. Bijak mengurus waktu dan kehendak untuk menulis itu yang menentukan. Kata orang hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.

InsyaAllah, kali ini berbekalkan semangat blog yang baru, 'new post' akan diusahakan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.

Doakan semua InsyaAllah.

adi : kalau balik kampung raya nanti macam mana? =)

~ان العلم نور ونور الله لايهدى لعاصى~

adi_mujahid@yahoo.com
www.adimujahid.blogspot.com

Repost: Seminar Antara Dua Cinta

Posted by adi mujahid | Labels: | Posted On Wednesday, September 2, 2009 at 11:25 PM

Post lama dari Multiply Oct 14, '08 1:18 AM

Seorang muslimat yang baru berkahwin 2 bulan mengadu yang dia bergaduh besar dengan suaminya yang baru dinikahinya. Puncanya kerana si isteri terserempak dengan suaminya yang aktif dengan dunia dakwah men'ziarahi' laman web porno. Lebih malang, akibat insiden itu, suami sampai bersumpah isterinya akan jatuh talak satu jika dia melayari lagi laman web sebegitu.'

Demikianlah cerita pembukaan oleh Us Hasrizal Jamil, penulis buku Aku Terima Nikahnya dan empunya blog saifulislam.com dalam seminar 'Antara Dua Cinta' yang diadakan di Auditorium Perdana Siswa di Universiti Malaya anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya pada 9 hb Oktober 2008.Aku tidak hadir. Tetapi mengirim MP3. Terima kasih kepada roomate, Nik Aziz yang sudi menolong merakam seminar tersebut menggunakan MP3 nya. Selepas 2 kali mengulang dengar seminar tersebut menggunakan MP3 Sony walkman, aku kini sedia untuk me'review'nya.

Walaupun Us Has memulakan cerita tadi untuk menjelaskan akan rumitnya rumah tangga dan ia memerlukan persediaan yang serius, tetapi aku dapat merasakan para pendengar yang lebih terkejut dengan apa dilakukan oleh suami muslimat tersebut.Tambahan pula ustaz bercerita pula bahawa ada kes2 lebih serius berlaku yang mana suami main kayu tiga dan isteri main kayu tiga secara hubungan fizikal.

MasyaAllah.. Au’zubillahhimzalik.

Us Has meneruskan seminar itu dengan menyentuh tentang kebanjiran puisi-puisi tentang cinta pada ilahi. Sajak-sajak ini biasanya lahir dari orang baru putus cinta. Maka, lahirnya ayat-ayat air mata sebegini :

‘Cukuplah cintaku pada manusia’

‘Sesungguhnya cinta ilahi cinta abadi’

‘Cintakan bunga, bungakan layu’

‘Cintakan manusia, manusiakan pergi’

‘Cintakan Allah, kekal abadi’

Persoalannya ialah: Apakah yang maksudkan dengan cinta kepada Allah?
Adakah sekadar luahan hati yang dilakar dalam bentuk puisi-puisi air mata. Lebih malang, cinta Allah yang dicari ini dipeduli selepas gagal bercinta dengan makhluknya. Oleh itu, pencarian cinta kepada Allah ini hanya sekadar untuk merawat kesedihan akibat putus cinta.

Hakikatnya, cinta kepada Allah bukanlah cinta khayalan. Apatah lagi hanya jadi pilihan selepas gagal mencintai makhluknya .

Sesungguhnya, untuk membuktikan cinta kepada Allah, Allah menunjukkan jalan dalam firmanNya dalam surah Ali-Imran, ayat 31 :

Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku(Nabi), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ya.. cinta kepada Allah perlu dibuktikan dengan mengikut ajaran yang dibawa oleh nabi, mengikut sunnah nabi dan membuat kerja-kerja nabi. Maka, pembuktian cinta sebegini yang akan membawa kepada keampunan Allah dan sebenar-benar cinta kepadaNya. Cinta Ilahi Bukan Sekadar Lakaran Puisi.

Kesimpulan
Terlalu banyak yang Us Has sampaikan. Cuma ada beberapa point penting yang kukira perlu diambil perhatian.

1. Sebelum mencintai seseorang perlu pertimbangkan samaada cinta itu cinta yang sebenar atau sekadar cinta untuk berseronok. Cinta untuk berseronok ialah cinta kerana nakkan perhatian atau nak beri perhatian. Maka kata ustaz, kalo cinta itu kerana nak berikan perhatian, belilah kura2, kemudian jaga dan berilah perhatian padanya =).

Maka, bagaimanakah bentuk cinta yang sebenar? Cinta yang sebenar ialah cinta yang berperancangan. Cinta yang sudah ada persediaan. Jika hendak berjumpa dengan bapa si dia pun belum berani, maknanya anda belum bersedia.

2. Cinta itu perlukan kepada menjaga dua perkara iaitu syariatullah dan sunnatullah.

Menjaga syariatullah ialah menjaga hukum-hukum agama (halal dan haram) sebelum dan selepas berkahwin. Sebelum berkahwin menjaga perkara-perkara haram seperti sms x henti-henti,keluar ber’dating’,apatah lagi berpegangan tangan dan lain-lain sewaktu dengannya. Selepas kahwin, syariatullah dalam bentuk hak-hak suami isteri dan hukum hakam dalam pergaulan.

Menjaga sunnatullah ialah menghayati dan mengaplikasi erti hidup sebagai suami dan isteri. Sunnah alam, suami perlukan belaian kasih sayang isterinya. Demikian juga, isteri perlukan perhatian suaminya. Kedua-duanya sunnah alam. Maka, janganlah suami-isteri selepas kahwin kerana niat untuk ‘kesinambungan dakwah’ menjadi 'batu' dan 'kayu' serta meninggalkan sunnatullah yang Allah aturkan. Perkara ini yang manjadikan seorang isteri memohon cerai kepada suaminya selepas 10 tahun berkahwin. Alasannya terlalu simple, ‘saya gagal mencintai suami saya’. Sungguh aneh ayat ini dikeluarkan oleh seorang isteri yang rumah tangganya dibina atas dasar kefahaman kepada islam dan dakwah. Mungkin ini akibatnya mengambil syariatullah, tetapi meninggalkan sunnatullah.

Kesimpulan Akhir
1. Tiada pertembungan antara cinta Allah dan cinta kepada manusia. Cinta manusia perlu menjadi jalan atau landasan kepada cinta kepada Allah. Apabila cinta kepada manusia itu menjadi maksiat, maka anda telah tersilap jalan.Untuk kembali kepada cinta Allah, perlu kembali kepada ajaran nabi dan taat kepada perintah Allah, bukan melalu sajak dan syair air mata.

2. Perlu bezakan antara cinta dan keinginan hawa nafsu. Cinta sebenar perlu kepada consciousness dalam maksud persediaan dan perancangan.

3. Perlu ada good self control dan jangan jemu untuk belajar.

Waallahu’alam


Sesiapa yang ingin men'download' seminar tersebut boleh download di link di bawah.

http://www.4shared.com/file/66362489/e1946b3d/Antara_Dua_Cinta_Part_1.html (dah invalid)

http://www.4shared.com/file/66370795/64164935/Antara_Dua_Cinta_Part_2.html ((dah invalid)

Note : Walaupun review ku menampakkan seminar ini disampaikan dalam nada serius. Actually, ia 180 degree terbalik. Mungkin cara aku me'review' gagal menonjolkan 'kelakauan' dalam seminar ini. Apalagi, cuba dengar sendiri.

~ان العلم نور ونور الله لايهدى لعاصى~


adi_mujahid@yahoo.com
www.adimujahid.blogspot.com


Repost: Perjalanan Membawa Pulang 'Berkat'

Posted by adi mujahid | Labels: | Posted On at 9:53 PM

Post lama dari Multiply Oct 13, '08 9:58 PM

Perjalananku bermula pada pukul 9.55 pagi dari rumah di Pantai Dalam dengan menaiki AEU 2416. Aku sempat singgah di ATM di Stesen LRT Kerinci kerana teringatkan pesanan Apid semalam supaya jangan lupa membawa dompet(mendalam pesanan tu). Sampai di RA jam menunjukkan 10.15 pagi. Aku lewat 15 minit seperti waktu yang dijanjikan. Walaupun janji untuk bertolak pukul 10.00 pagi, macam biasalah, tunggu orang itu, tunggu orang ini, akhirnya aku, Apid, Hizam, Jemang dan Oq hanya berjaya bertolak pukul 11.30 pagi dari RA dengan menaiki kereta Proton Wira baru Apid.

Perjalanan dari Petaling Jaya ke Muar ini mengambil masa hampir 3 jam dan kami sampai ke rumah 'Pak Lah' di Tangkak lebih kurang 2.15 petang. Di sini, sudah sedia menunggu 'segerombolan' lagi sahabat-sahabat seperjuangan. Kebanyakannya senior.Selepas selesai sesi 'usik-mengusik', solat jama' qasar dan mengalas perut dengan nugget, popiya kering yang lazat dan air merah jingga, kami bertolak ke rumah pengatin kira-kira pukul 3.00 petang.

Kami tiba di rumah pengantin perempuan kira-kira pukul 3.30 petang dan terus dijemput menjamu selera. Aku baru tahu budaya di sini berbeza sedikit dari negeri di sebelah utara. Pak Lah menerangkan di sini kebiasaannya ‘sampul duit’ dihulur kepada wakil tuan rumah sejurus sebelum pulang. Dan sesetengah tempat katanya tuan rumah itu membuka sampul melihat not duit yang diberikan. Peliknya… .Di negeri sebelah utara kami menghulur ‘sampul duit’ sebaik tiba dan bersalam dengan wakil tuan rumah. Tak pernah pula ada tuan rumah yang check not dalam tu. Nasib baik aku orang Perak=).

Seusai makan, kami ke sesi beramah-tamah dengan pengantin. Kami bersalam dan mengucapkan tahniah kepada Us Ramadhan yang memakai baju melayu kuning lembut pengantin dan bersongkok hitam. Nampak segak walaupun simple. Aku tengok punyalah susah Us Ramadhan hendak menoleh ke arah Kak Dijah. Nak bercakap berdua pun teragak-agak.Confius kami, Us Ramadhan dengan Kak Khadijah ni dah akad nikah ke belum? =). Namun, aku sedar insiden ini takkan berlaku melainkan memang pasangan pengantin sudah sedia terjaganya pergaulan mereka sebelum berkahwin. Tiadanya ‘dating’, terkawalnya ‘sms’, terpeliharanya perkataan dan hati, semuanya itu mendorong perasaan malu di awal permulaan perkahwinan. Inilah uniknya perkahwinan yang dimulakan dengan mengikut syariatullah. InsyaAllah, permulaan perkahwinan sebegini penuh keberkatan dan penuh keindahan dalam meneruskan sunnatullah kehidupan berumah tangga.

Aku sempat menoleh ke arah Kak Dijah dan aku ter’kesan’ melihat penampilan Kak Dijah yang sederhana. Solekan yang ringkas dan tak keterlaluan menyerlahkan keindahan dan kecantikan semulajadi yang terpancar dari wajah yang bercahaya. Mungkin terzahir dari wudhu’ dan solat yang terpelihara. Jarang aku melihat muslimat yang berwajah ‘original’ semasa di hari kenduri perkahwinan. Kebiasaanya, pengantin perempuan menjadi putih salju yang aku selalu istilahkan seakan-akan ‘patung’. Minta maaf jika ada yang terasa. Kata orang nak buat macam mana, banyak sangat mak-mak andam yang menolong. Dari kami sampai hingga saat hendak pulang, tidak pudar seri pengantin baru Kak Dijah yang sentiasa tersenyum.

Selesai sesi fotografi, kami bersalam dengan pengantin lelaki sebelum berangkat pulang. Sampai sekarang aku teringat kata-kata Ustaz Ramadhan semasa bersalam dengan kami : ‘ Cepat-cepat salam dengan ana ambil BERKAT. Insyaallah, pasni semua cepat’. ‘Aa..mennn…’ , kataku dalam hati .

~ان العلم نور ونور الله لايهدى لعاصى~

adi_mujahid@yahoo.com
www.adimujahid.blogspot.com


Repost: ~Sebuah MP3 Sony Walkman Baru~

Posted by adi mujahid | Labels: | Posted On at 9:25 PM

Post lama dari Multiply (Oct 7, '08 1:07 PM)

26 hb Sept 2008, Jumaat, 10.30 pagi:

Pada suatu hari sebuah pengetua di sebuah sekolah memanggil dua orang guru bertemu dengannya. Kemudian, dia berkata kepada 2 orang guru itu, 'Tahniah kamu berdua adalah guru terbaik di sekolah ini. Sebagai balasannya, kamu diminta mengajar 100 orang pelajar terbaik yang di pilih di sekolah ini'.

Maka, gembiralah kedua-dua guru tersebut. Almaklumlah, guru terbaik dapat mengajar murid terbaik. Pastinya sesuatu yang membanggakan.

Setelah satu semester berlalu, pengetua sekolah itu memanggil semula kedua-dua guru itu. Dia memberi khabar gembira kepada mereka. 100 orang pelajar yang terpilih itu keputusan mereka meningkat 40%.

Pengetua :Walaubagaimanapun,ada satu benda yang saya nak bagitau.

2 Guru Terbaik : Ye, apa dia Cikgu?

Pengetua : Sebenarnya, 100 orang pelajar tu bukanlah pelajar terbaik di sekolah ini. Mereka saya pilih secara random sahaja.

2 Guru Terbaik : Ooo.. maknanya pelajar2 ini still dapat peningkatan sehingga 40% even mereka bukan pelajar yang terbaik (Dalam hati : Maknanya kamilah yang bagus
).

Pengetua : Tapi, ada satu benda lagi saya nak bagitau.

2 Guru Terbaik : Ye, cikgu?

Pengetua : Sebenarnya, kamu berdua juga bukanlah guru terbaik di sekolah ini.Kamu pun sy pilih secara random.

:. .......Terdengar hilai tawa hadirin2 di Wacana An-Nida' yang disampaikan oleh Us Hasrizal yang membincangkan buku terkenal ' Maza Ya'ni Intimai lil Islam' yang dikarang oleh Dr Fathi Yakan............ .:

Kemudian pengetua itu menjelaskan bahawa apa yang dia lakukan untuk membuktikan bahawa 'kepercayaan' terhadap sesuatu akan memberi kesan kepada tindakan. Dan tindakan itu akan membuahkan hasil selaras dengan tindakan.

100 pelajar yang percaya mereka adalah pelajar terbaik akan react sebagai pelajar terbaik. Demikian juga, guru yang percaya mereka adalah yang terbaik akan react sebagai seorang guru terbaik.

.........................................................................................................................................

Demikianlah petikan kuliah yang aku dengar dengan menggunakan MP3 Sony Walkman baru. MP3 ini baru kubeli semalam. Sambil menyelam minum air. Sambil dengar ceramah aku menaiki motosikal ke Bank Islam di UM. Aku membawa bersama Buku Tabung Haji. Buku Tabung Haji ini penting kerana aku ingin mendaftar Akaun Tabung Haji aku di Bank Islam supaya aku boleh 'cash in' atau 'cash out' wang ke dalam Tabung Haji melalui Bank Islam. Maka, tak perlulah aku ke Tabung Haji di Kelana Jaya atau di Jalan Sultan Ismail hanya semata-mata untuk urusan memasukkan wang.
Pelajaran Akidah dari MP3 Sony Walkman baru

Selepas selesai urusan Tabung Haji, aku bergegas keluar. Matlamat aku kini ialah ke Digital Mall. Sesuatu berlaku semalam. Pening aku memikirkan pengajaran dari peristiwa semalam.
Imbas Kembali , 25 Sept 2008, Khamis 3.00 pm

Petang ini aku ke Digital Mall. Sebelum masuk ke dalam, aku ke Maybank dulu yang bersebelahan dengan pejabat Pos. Aku keluarkan RM 200. Aku kira RM 200 ini sudah cukup untuk mendapatkan sebuah MP3 yang baik. Aku memerlukan MP3 untuk memudahkan aku merakam kuliah. Selain itu, MP3 ini membolehkan aku mendengar kuliah di mana-mana aku berada.

Setelah agak lama beredar-edar mencari kedai MP3 yang sesuai, akhirnya aku berhenti di sebuah Booth. Setelah agak lama meneneliti, membelek dan 'mengkritik', akhirnya aku bersetuju untuk membeli sebuah MP3 Sony Walkman yang dikatakan model baru(NWZ-B133F) yang sampai 2 minggu lepas dengan harga RM 149 (1Gb).

Girangnya hati sesudah membeli. Petang itu aku leka dengan MP3 itu. Aku memasukkan kuliah-kuliah dan lagu Inggeris yang 'best'. Housemate semua Jeles.


Malam itu seusai pulang dari masjid dari berbuka dan solat maghrib, aku bersiap untuk bertolak ke Masjid Ar-Rahman(MAR). Macam biasa, disitulah tempat aku bertarawikh hampir setiap malam. Aku mencapai segala yang perlu. Tidak dilupa dompet jenama Levi's yang di beri oleh Mak Saudaraku 2 tahun lepas. Aku membelek duit2 dalam dompetku, ingat nak cari kalau ada not seringgit, boleh buat derma waktu tazkirah. Alhamdulillah,ada. Tapi, ada keganjilan di dalam dompetku. Ya... baru aku sedar. Sepatutnya, ada not RM 50 lagi dalam dompetku. Yelah... tadi aku telah keluarkan RM 200. Aku beli MP3 dengan harga RM 149. Jadi bakinya RM 51. RM 1 nya ada. Di mana RM 50 nya??

26 hb Sept 2008, Jumaat, 11.15 pagi:

Aku hampir sampai ke Digital Mall. Kepala masih memikirkan hikmah tersilap membuat bayaran ketika membeli MP3 semalam. Harga MP3 yang berharga RM 149 itu aku bayar dengan harga RM 200, 4 keping not RM 50. Dan cina kedai itu mengembalikan RM 1 kepada aku. Di situlah RM 50 aku hilang. Pagi ini walaupun sudah sampai ke Digital Mall, aku serba salah, samaada nak meminta semula atau tidak. Cina itu mungkin mudah-mudah menafikan kejadian semalam. Dalam resit pun tertulis RM 149.

Tiba-tiba aku teringat kisah Pengetua dengan 2 orang guru tadi. Melalui cerita itu, Us Hasrizal membandingkan kepercayaan dengan Akidah. Lantaran kepercayaan menentukan dan memberi kesan kepada tindakan seseorang, umpama guru yang percaya dia yang terbaik akan perform sebagai guru yang terbaik. Begitu juga dengan akidah, Seorang yang kuat akidah islamnya(kepercayaan kepada Allah), akan perform sebagai seorang hamba yang taat padaNya. Di sinilah yang dimaksudkan dengan ihsan.

Ihsan : 'Seolah-olah kamu melihat Allah, dan jika tidak seolah-olah Allah melihat kamu'

Sebab itu, akidah yang menentukan seseorang boleh menerima islam sepenuhnya atau islam pada separuh-separuh sahaja. Ramai yang beriman dengan ayat kewajipan berpuasa seperti yang dirakamkan oleh Allah dalam Surah Al-Baqarah , ayat 183. Tetapi ramai yang tidak mahu menerima dan ragu-ragu tentang ayat Allah dalam surah yang sama, ayat 178. Sedangkan, ayat yang digunakan hampir sama sahaja dan lenggok bahasanya senada. Apakah yang diperintahkan Allah dalam ayat tersebut? Bagi yang belum tahu atau ala-ala lupa, mari membuka Tafsir.

Semuanya bermula denga akidah. Adakah kita benar-benar percaya akan adanya dosa dan pahala,azab dan kubur, soal jawab dengan Munkar dan Nankir, kewujudan Syurga dan Neraka, akan tibanya Hari Kiamat dan Padang Masyar serta pertemuan dengan Allah di syurga bagi hamba-hamba yang diredhainya?

Tepuk dada tanya iman. Kepercayaan ini menentukan 'reaction' anda sepanjang hidup di muka bumi ini sebelum dijemput pergi.

Pagi itu, aku bulatkan tekad dan yakinkan diri bahawa semalam aku memang tersilap dan aku percaya bahawa cina itu pasti akan memulangkan not RM 50 aku. Ya.. Kepercayaan, menentukan tindakan.

Sampai di Booth semalam, dengan 'confident' nya aku berkata:

'Bos, semalam saya tersilap bagi duit laa.. saya terbagi RM 200, 4 helai RM 50. Cuba U check balik'

Dengan terpinga-pinganya, cina itu terkejut dengan kehadiranku dan 'murmuring' sesuatu yang sound wave nya tak tercapai ke telinga aku. Yang pastinya, tanpa berfikir panjang dia mengeluarkan RM 50 dan terus menyerahkannya kepada aku. Tak sampai seminit, semuanya selesai.

Alhamdulillah... Inilah pengajaran dari sebuah MP3 Sony Walkman baruku.


~ان العلم نور ونور الله لايهدى لعاصى~

adi_mujahid@yahoo.com
www.adimujahid.blogspot.com